Ke Mana Perginya Wang Zakat Anda? Baca Wawancara Ekslusif Ini Untuk Mendapatkan Jawapan
RAMADAN baru dua minggu meninggalkan kita. Sepanjang Ramadan lalu, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, isu zakat menjadi antara topik perbincangan memandangkan bulan mulia itu turut menjadi bulan untuk pembayaran zakat fitrah.
Bagi tahun ini, isu zakat mula diperkatakan sebelum Ramadan lagi, terutama apabila isu gelandangan kota yang menjadi debat panas bulan lalu. Apa yang boleh disimpulkan, masih ada persepsi negatif dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia kepada pusat pemungut zakat.
Ramai mempersoalkan ke mana duit zakat menghilang apabila saban hari pembayar zakat ini dihidangkan dengan cerita kemiskinan tegar dan kesempitan hidup orang Islam lain. Untuk mendapatkan jawapan lebih jelas, ikuti temu bual bersama Eksekutif Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid.
Kenapa masih ramai mempunyai persepsi bahawa zakat yang dibayar mereka tidak sampai kepada golongan asnaf?
Kenapa jadi begini, kerana mereka tidak melihat sendiri maklumat dan informasi oleh LZS. Setiap tiga bulan sekali kita ada keluarkan majalah berbentuk buletin diterbitkan untuk menghebahkan segala aktiviti yang dijalankan LZS.
Semua orang boleh dapatkan buletin itu yang kita letakkan di masjid-masjid, di pejabat LZS dan diagihkan percuma kepada orang ramai jika kita ada aktiviti di luar.
Memandangkan masyarakat sekarang mempunyai telefon pintar dan kemudahan internet, mereka juga boleh dapatkan segala maklumat di laman web kami yang dikemas kini setiap hari.
Mereka boleh ikuti LZS di Facebook juga. Kalau mereka ini golongan yang prihatin dengan aktiviti LZS, tidak timbul isu ke mana duit mereka (disalurkan). Kita tidak menyembunyikan apa-apa, jika masih tidak berpuas hati boleh datang sendiri ke pejabat LZS untuk dapatkan maklumat.
Ada pihak persoalkan mengapa pusat zakat tidak membelanjakan kesemua duit kutipan setiap tahun?
Setiap tahun ada masanya kutipan (zakat) berkurangan. Kalau bulan puasa agak tinggi dan hujung tahun juga tinggi.
Di LZS, walaupun duit zakat diterima kurang, tetapi agihannya tetap sama, tiada yang kita kurangkan. Kenapa duit zakat tidak habis diagihkan kerana seperti saya katakan tadi, Disember antara bulan yang tertinggi kita terima duit zakat, jadi kita tidak akan sempat habiskan (dalam tahun sama).
Jadi duit itu kita bawa ke tahun depan. Mungkin ada pihak merasakan kita sengaja tidak habiskan duit tersebut. Sebenarnya duit yang lebih tadi kita tampung untuk pembayaran pada tahun depan.
Orang tidak tahu, orang tidak pernah tanya kenapa LZS tidak mampu habiskan duit itu. Tetapi mereka menyimpan persepsi LZS sengaja menyimpan duit tersebut. Kita tahu itu bukan duit kita, itu duit zakat.
Duit itu kita gunakan semula untuk tampung pembayaran zakat di bulan-bulan yang rendah pembayaran zakat. Hari akhir Disember pun kita masih terima zakat sehingga RM30 juta hingga RM40 juta.
Apa cabaran pusat zakat untuk mengutip dan mengagih zakat?
Saya lihat sekarang ini, alhamdulillah, ramai orang mempunyai kesedaran tinggi (untuk membayar zakat). Lagi satu di negara kita, mereka yang bayar zakat boleh elak bayar cukai pendapatan, jadi orang Islam lebih memilih untuk bayar zakat. Orang yang bayar zakat mereka lebih merasakan nikmat.
Pengalaman saya, individu yang bayar zakat ini mengakui, kehidupan mereka lebih baik, lebih tenang. Ini semua berkat mereka bayar zakat. Dulu ramai juga yang susah nak bayar zakat kerana mereka ada perasaan sayang duit mereka, tamak, tidak mahu berkongsi dengan orang lain tetapi apabila mereka sudah mula bayar, ALLAH mudahkan rezeki mereka.
Cabaran paling besar bagi semua institusi zakat seluruh Malaysia bagi saya ialah untuk meyakinkan orang tentang agihan zakat, kerana orang terus bertanya ke mana duit zakat. Itu cabaran paling besar. Kita ambil konteks di Selangor. Selangor adalah antara negeri yang paling banyak saluran untuk menghebahkan mengenai saluran zakat. Kita keluarkan buku yang menceritakan kisah asnaf yang menerima bantuan duit zakat, sehingga mereka ini pula (mampu) membayar zakat.
Selangor antara negeri yang terkedepan menghebahkan perkara seperti ini tetapi masih mempunyai masalah dengan keyakinan orang ramai.
Bayangkan negeri yang tidak begitu aktif, lebih berat persepsi (negatif) oleh masyarakat. Ini cabaran institusi zakat seluruh Malaysia, bagaimana untuk meyakinkan orang tentang keberkesanan agihan zakat.
Apabila keyakinan umat Islam tinggi terhadap pusat zakat, maka secara automatik mereka tidak akan liat untuk membayar zakat.
Tetapi kenapa masih ramai fakir miskin sedangkan kutipan zakat setiap tahun adalah tinggi?
Semua umat Islam kena faham, dalam Islam tidak pernah ada satu pun hadis yang menyebut ALLAH SWT dan Rasulullah SAW hendak basmi kemiskinan. Apa yang ada ialah menangani (kemiskinan). Sebab itu pada zaman Rasulullah SAW turut ada orang miskin. Bukan miskin yang biasa-biasa tetapi miskin tegar. Mereka ini yang disebut sebagai ahlul suffah. Mereka makan daripada pemberian orang, tapi adakah ahlul suffah itu hina?
Kita kena faham dalam Islam harta kekayaan itu ada bermacam-macam (jenis). Kekayaan itu bukannya dari segi harta sahaja, kekayaan sebenar adalah orang yang kaya jiwa. Jadi nak dibasmi kemiskinan bukan melihat kepada kekayaan harta tetapi kekayaan jiwa.
Contohnya zaman Rasulullah SAW dahulu, ada Abu Hurairah yang miskin harta dilantik sebagai pengurus Baitulmal. Abu Hurairah adalah orang yang sangat tinggi ilmunya. Ramai sahabat Rasulullah SAW yang miskin harta tetapi kaya jiwa.
Kalau ada orang bandingkan dengan zaman Umar Abdul Aziz (yang diceritakan dalam sejarah Islam sebagai zaman tiada langsung golongan layak menerima zakat), kenapa jadi begitu sebenarnya ketika pihak yang mahu mengagihkan zakat kepada yang layak (semasa zaman Umar Abdul Aziz), tiada siapa yang mahu menerimanya kerana mereka merasakan cukup dengan apa yang mereka ada.
Mereka ini zuhud dengan menolak kekayaan. Pada zaman itu, amil bawa duit zakat untuk diserahkan kepada yang layak tapi mereka tidak mahu terima. Tetapi ramai yang tidak faham. Itu yang dimaksudkan dalam Islam, kaya sebenar bukan kaya harta tetapi kaya jiwa.
Adakah LZS mengambil langkah turun padang menjejak asnaf?
Sudah lama kita buat, sejak 2003 lagi, kita perkenalkannya pada 2000. Di Selangor jumlah asnaf fakir miskin ada 33,000 keluarga. Ini tidak termasuk lagi asnaf mualaf dan sebagainya.
Apa pandangan ustaz bagi golongan yang tidak percaya kepada lembaga zakat dan membayar terus kepada asnaf?
Orang yang hendak membayar zakat kena faham ulama telah membahas mengenai pembayaran zakat ini secara panjang lebar, maknanya ada pro dan kontra (jika membayar terus kepada asnaf). Jadi kalau orang Islam tidak ambil berat, di akhirat ALLAH akan mempersoalkan amil kerana tidak melakukan kerjanya.
Tugas amil ada disebut dalam al-Quran. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda ambil berat isu ini. Baginda melantik Umar al-Khattab menjadi amil kerana Umar orang terpelajar.
Sebab itu kita lantik amil untuk mengira bayaran zakat yang dikenakan terhadap seseorang. Orang yang bayar zakat kepada amil mengikut sunah Rasulullah SAW, manakala orang yang tidak membayar zakat melalui amil telah menyanggah sunah Rasulullah SAW.
Mereka yang bayar zakat bukan melalui amil kena pastikan pihak yang mahu dibayar itu adalah golongan asnaf atau tidak, kena pastikan betul-betul kerana dia sudah mengambil alih tugas amil.
Tugas amil sebenarnya untuk pastikan seseorang itu layak terima zakat. Kalau dia agih sahaja dan kebetulan pihak yang diberikan zakat itu bukan terdiri daripada golongan asnaf yang layak, ia tidak akan dikira sebagai bayaran zakat.
Duit zakat kita bukan hanya untuk satu atau dua golongan asnaf sahaja, tetapi lapan asnaf yang sepatutnya terima duit kita itu. Jadi adakah kita tidak mahu ikut apa yang disebut dalam al-Quran (Surah At-Taubah, ayat 60) berkenaan perkara ini?
Zakat kita tidak banyak, lainlah kalau zakat syarikat. Sedangkan Umar al-Khattab berkata jika mahu berikan zakat kepada mereka (asnaf), kayakan mereka.
Kalau bayaran zakat itu dikumpulkan dan diuruskan di bawah satu agensi, ia jadi banyak. Jadi duit itu kita akan diberikan kepada semua (lapan golongan) asnaf secara sama rata. Jadi masyarakat boleh fikir mana lebih baik, beri sendiri (terus kepada asnaf) atau bayar kepada kami.
Ramai yang tidak sedar (perkara ini), sebaliknya mereka bangga kerana bayar sendiri, padahal mereka telah melanggar roh zakat yang sebenarnya. Tetapi jika mahu juga berikan zakat sendiri, dibolehkan jika orang ramai boleh melihat pihak yang menguruskan zakat itu tidak amanah.
Contohnya, jika LZS kutip RM500 juta, tetapi agih RM100 juta sahaja, dan pada masa sama orang dapat tengok yang kaya bukan penerima zakat, tapi amil pula yang kaya, ini situasi yang digalakkan bayar sendiri (terus kepada asnaf). - Sinar Harian
ADA SEBARANG KOMEN??
Paling Viral Minggu Ini
- EKSLUSIF: Adakah Ini Punca Sebenar Kematian Aktor Robin Williams?
- Jangan Terkejut Apabila Anda Lihat Apa Yang Gadis Cun Ini Lakukan Untuk Gaza dan MH17 (7 GAMBAR)
- Benarkah Neelofa Bakal Berkahwin Dengan Kerabat Diraja Negeri Sembilan?
- Ini SERIUS!! Buku Pesong Akidah Kanak-Kanak Islam Kini Tersebar (3 Gambar)
- CANTIK! Inilah 12 Gambar Anak Gadis Rosyam Nor Yang Anda Tak Pernah Lihat
- Padah Mahu 'Selfie' Di Cenuram, Pasangan Maut Terjatuh Depan Mata Anak Mereka Sendiri!